NASIONAL

Zuraida: Manifesto BN, hina wanita Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 APR: Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN) menyifatkan manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) ketinggalan zaman dan sudah direalisasikan oleh Kerajaan Selangor serta Pulau Pinang.

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata, 90 peratus daripada janji BN itu dilaksanakan Kerajaan Selangor melalui pelbagai program dan inisiatif yang berterusan.

Katanya, pelaksanaan setiap program berkenaan wanita pula dipertanggungjawabkan kepada seorang pemimpin wanita (Exco Wanita Negeri) yang berkebolehan lantas memahami isi hati, cabaran dan aspirasi wanita Selangor.

“Buktinya, kita boleh lihat dengan penubuhan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Selangor, Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor dan Dasar Wanita Selangor di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang menyediakan ekosistem kondusif untuk pembangunan wanita.

“Walaupun baru 10 tahun pentadbiran Pakatan Harapan (Pakatan Rakyat), perubahan signifikan dapat dilihat terutamanya dari segi pembangunan wanita dari sudut sosio ekonomi dan pendidikan.

“Lantas, ini membuktikan dari sudut pembangunan wanita, sudah tentu PAKATAN adalah lebih terkehadapan berbanding BN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuraida berkata BN gagal dalam meneruskan kesinambungan mengangkat martabat wanita, buktinya dalam Menifesto BN bertajuk ‘Ibu dan Wanita’, dan jelas menyatakan bahawa Perdana Menteri Malaysia yang akan menjadi pengerusi Majlis Ekonomi Wanita (MEW).

“Ini adalah satu penghinaan yang amat jelas dan nyata terhadap keyakinan Kerajaan BN terhadap kemampuan wanita Malaysia.

“Bayangkan jika program-program PERMATA yang diletakkan di bawah Pejabat Isteri Perdana Menteri dengan peruntukkan ratusan juta ringgit, MEW juga seharusnya ditadbir oleh seorang wanita.

“Apakah para pimpinan BN hanya mempercayai Isteri Perdana Menteri yang bukan datang dari pilihan akar umbi berbanding puluhan pemimpin wanita yang berjawatan di dalam parti itu?,” soalnya.

Pada masa sama, beliau berkata perjuangan PAKATAN adalah memastikan inisiatif dan program yang berkesan bagi pembangunan wanita, tetapi turut melatih lebih ramai pemimpin dari kalangan wanita.

Katanya, ia berbeza dengan visi dan misi parti terbabit yang menganggap wanita hanya diperlukan pada waktu pilihanraya sahaja.


Pengarang :