NASIONAL

Zuraida: Rakyat diseru tidak tunduk kepada tekanan BN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 APR: Rakyat diseru untuk tidak tunduk kepada tekanan Kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin.

Zuraida berkata, ini kerana BN akan melakukan apa sahaja dalam usahanya memenangi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) termasuk menyerang tokoh perniagaan yang cenderung kepada perjuangan rakyat.

“Taktik menakut-nakutkan penyokong dan rakyat untuk tidak menyokong PAKATAN sememangnya sudah dijangka.

“Namun begitu, saya percaya rakyat Malaysia serta pemilik perniagaan yang menyokong perjuangan rakyat akan terus setia bersama PAKATAN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuraida berkata demikian sebagai mengulas permohonan maaf pemilik Supermax sebuah syarikat konglomerat Malaysia dan serangan bermotifkan politik terhadap sebuah peniagaan bakeri, The Loaf.

Malah, Zuraida berkata, secara tiba-tiba The Loaf yang dikatakan dimiliki Tun Dr Mahathir Mohammad menjadi topik hangat dalam media rasmi kerajaan sedangkan sebelum ini perniagaan itu tidak diambil peduli oleh media massa.

“Tindakan Pengarah Urusan Supermax Corporation Berhad, Stanley Thai memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak dan BN adalah satu tindakan amat pelik.

“Apatah lagi situasi apabila Pengerusi Supermax Corporation Berhad, Tan Sri Rafidah Aziz sejak kebelakangan ini mengkritik secara terbuka Datuk Seri Najib Razak atas tindakan beliau yang dikatakan menjadi punca Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kehilangan pemilikan tanah,” katanya.

Zuraida berkata, kehidupan rakyat lebih selesa dan suasana ekonomi bertambah baik sekiranya PAKATAN berjaya menawan Putrajaya dalam PRU14 akan datang.

“Jangan gentar dan takut. Dengan kemenangan PAKATAN, kita pastikan ekonomi negara akan menjadi lebih makmur dan berdaya saing,” katanya.


Pengarang :