SELANGOR

Zuraida yakin PAKATAN pertahan Ampang, Bukit Antarabangsa dan Lembah Jaya

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR 28 APR: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin yakin Pakatan Harapan (PAKATAN) mampu mengekalkan Parlimen Ampang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa juga Lembah Jaya dalam pilihan raya umum ke 14 (PRU14) nanti.

Beliau yang turun bagi mempertahankan kawasan Parlimen itu berkata, berdasarkan prestasi ditunjukkan dalam dua penggal lalu, keyakinannya tinggi bagi mengulangi kejayaan sama.

“Saya yakin calon daripada KEADILAN yang mewakili PAKATAN akan membawa kemenangan untuk Parlimen Ampang dan DUN Bukit Antarabangsa juga Lembah Jaya.

“Dengan prestasi dan rekod yang baik, saya yakin calon PAKATAN akan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di sini ,” katanya kepada media selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Datuk Ahmad Razali, Ampang, di sini.

Zuraida akan menghadapi saingan daripada tiga calon lain iaitu Leong Kim Soon (Barisan Nasional – BN), Nurul Islam Mohamed Yusoff (PAS dan Tan Hua Meng (Parti Rakyat Malaysia – PRM).

Bagi DUN Bukit Antarabangsa, PAKATAN dijangka tidak berdepan laluan sukar bagi mengekalkan kerana sekali lagi menampilkan penyandangnya iaitu Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Timbalan Presiden KEADILAN itu akan ditentang empat calon, Salwa Yunus (BN) Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS), Ahmad Kamaruddin (PRM) dan adiknya, selebriti tanahair, Mohamed Azwan Ali (Bebas).

PAKATAN turut menaruh harapan kepada Haniza Talha di DUN Lembah Jaya yang bakal berdepan penyandang, Khazim Abdul Aziz (PAS) serta dua yang lain iaitu Muhamad Nizam Shith (BN) dan Norizam Mohamad (PRM).

“Saya kira Haniza akan mendapat kejayaan selesa kerana beliau telah membuktikan kemampuan sebagai wakil rakyat di DUN Taman Medan dalam dua penggal lalu,” kata Zuraida mengulas mengenai Timbalan Ketua Wanita KEADILAN itu.

Beliau juga mengalu-alukan penyertaan calon dari pelbagai parti politik di Parlimen itu bagi menyiburkan semangat demokrasi di negara ini.

“Saya tiada masalah dan ia menunjukkan satu kematangan dalam menjayakan PRU kali ini.

“Ia tidak menjadi isu dan kita bersama memeriahkan demokrasi di negara kita,” katanya.

=EZY=


Pengarang :