SELANGOR

10,000 warga Permatang miliki Kad Peduli Sihat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MEI : Seramai 10,000 masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang sudah memiliki Kad Peduli Sihat, sejak dasar berkebajikan itu diperkenalkan Kerajaan Negeri, pada 2016.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, ia membabitkan pemegang utama bagi kategori individu dan keluarga.

“Sejak inisiatif Kad Peduli Sihat diperkenalkan dan ketika itu saya sebagai Penyelaras DUN Permatang terus memaklumkan kepada masyarakat berkenaan skim terbabit.

“Bukan setakat Kad Peduli Sihat, malah pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat turut dikongsikan.

“Maklumat terkini pemegang utama Kad Peduli Sihat mencecah 3,000 ribu dan keseluruhannya (berjumlah) 10,000, termasuk bagi kategori utama dan kanak-kanak,” katanya kepada SelangorKini.

Skim Peduli Sihat menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma kepada kelompok B40 yang berpendapatan isi rumah bawah RM3,000.

Skim itu terbahagi kepada dua, iaitu kategori A yang menerima manfaat kelebihan isi kad RM500 setahun dan tiada had jenis rawatan atau perubatan tertakluk kepada syarat kelayakan.

Manakala, kategori B untuk individu berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan RM1,500 dan ke bawah yang akan memperoleh isi kad bernilai RM200 juga tiada had rawatan serta perubatan.

Mengulas lanjut, Rozana berkata, sejak ia diperkenalkan, masyarakat setempat menyambut baik pelaksanaan skim berkenaan.

Katanya, inisiatif itu juga membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap aspek kebajikan kesihatan masyarakat Selangor.

“Keseluruhan IPR Kerajaan Negeri diselia baik oleh Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang di bawah penyelarasan saya selaku wakil rakyat,” katanya.


Pengarang :