epa06748392 Police and military personnel work among the wreckage of the Boeing-737 plane that crashed shortly after taking off from the Jose Marti airport in Havana, Cuba, 18 May 2018. Most of the more than one hundred people who died today when a plane crashed near the Havana airport were Cubans, except for five foreign passengers whose nationality is still unknown and crew members, who were Mexicans. EPA-EFE/Omara García
GLOBAL

110 disahkan maut nahas udara terburuk Cuba

HAVANA 20 MEI : Pihak berkuasa Cuba mengesahkan bahawa nahas pesawat Boeing 737 yang berlaku dua hari lalu telah meragut 110 nyawa dengan 99 daripadanya adalah rakyat tempatan, sekali gus menjadikan ia tragedi udara terburuk pernah berlaku di negara kepulauan Caribbean itu dalam tempoh 30 tahun.

Susulan nahas, kerajaan Cuba turut mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung selama dua hari bermula semalam, manakala pihak berkuasa yang bertungkus lumus mengenal pasti kesemua mangsa mengesahkan 15 daripada mereka berjaya dikenali setakat ini.

Terdahulu pihak berkuasa pada sidang media semalam di lapangan terbang memberitahu, tiga daripada penumpang yang maut dalam penerbangan domestik ke Holguin itu adalah warga asing, masing-masing dua daripada Argentina dan seorang dari Mexico manakala dua lagi mangsa memegang taraf pemastautin tetap serta berasal dari Republik Sahrawi.

Kesemua enam kru pesawat Boeing berusia hampir 40 tahun itu yang berasal dari Mexico turut terkorban dalam tragedi berkenaan.

Siasatan mendapati pesawat terbabit yang beroperasi di bawah syarikat penerbangan tempatan, Cubana sebenarnya disewa dari sebuah syarikat kecil berpangkalan di Mexico, dikenali sebagai Damojh.

Sementara itu ketua hospital berhampiran memberitahu, tiga penumpang wanita tempatan disahkan terselamat tetapi masih berada dalam keadaan kritikal berikutan kecederaan parah pada hampir keseluruhan anggota badan.

Seorang pelajar, Katherine Lucia Martinez, 18 memberitahu, neneknya adalah antara mangsa yang disahkan maut dalam kemalangan ngeri itu.

“Ini satu kematian yang sangat tidak dijangka. Beliau tidak sepatutnya menerima nasib seburuk ini,” katanya sambil menangis teresak-esak di dada bapanya.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :