PENDIDIKAN SELANGOR

120 kakitangan KUIS terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 27 MEI: Seramai 120 pegawai Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dirai dalam majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017, baru-baru ini.

Rektor KUIS, Prof. Dato’ Dr Abd Halim Tamuri, berkata anugerah itu khusus bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan setiap warga kerjanya dalam menjalankan tugas diamanahkan.

“Hal ini bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada kakitangan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang tetapi kita melihat skop yang lebih luas sebagai langkah membudayakan kecemerlangan menyeluruh dalam semua aspek pengurusan dan perkhidmatan.

“Tujuh budaya malu seharusnya diterapkan dalam kalangan pegawai KUIS bagi mempertingkatkan lagi kualiti perkhidmatan iaitu Malu Datang Lambat, Malu Cepat Pulang, Malu Tidak Berprestasi, Malu Melanggar Peraturan, Malu Berkata Perkara Keji, Malu Berpakaian Selekeh dan Malu Berakhlak Tidak Sopan.

“Kerana kita mahu perkhidmatan yang diberikan kakitangan khususnya perkhidmatan kaunter adalah yang terbaik dalam memenuhi kehendak pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Selain anugerah APC terdapat tiga anugerah baru yang diperkenalkan KUIS
iaitu Anugerah Hadiah Sarjana sebagai pengiktirafan kepada pegawai KUIS yang menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana, Anugerah Jasamu Dikenang bagi meraikan pegawai yang berkhidmat di KUIS sehingga umur persaraan wajib 2018 dan Anugerah Fakulti dan Bahagian Terbaik.

Terdahulu selain APC, KUIS juga menyampaikan Anugerah Khidmat Emas (AKE), Anugerah Khidmat Setia (AKS) dan Anugerah Hadiah Doktor Falsafah (PhD).

Difahamkan seramai 49 kakitangan menerima APC, 40 orang lagi menerima anugerah khidmat setia, 14 penerima anugerah Emas dan enam orang penerima Hadiah Sarjana.

Sementara itu sembilan orang penerima hadiah PhD dan dua lagi menerima Anugerah Jasamu Dikenang.

Majlis APC 2017 turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Bakhtiar Hussin.

=EZY=


Pengarang :