SELANGOR

17 buah hospital terima RM2.5 juta, elaun imam solat terawih RM2 juta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 MEI: Sebanyak 17 buah hospital di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur menerima sumbangan sebanyak RM2.5 juta.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sharifuddin Idris Shah Alam berkenan menyampaikan sumbangan zakat terbabit kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

Sumbangan itu diserahkan kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Khalid Ibrahim dalam Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menyalurkan sumbangan zakat kepada tabung itu sejak 2008.

Sumbangan itu bertujuan meringankan beban pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Pada masa sama, Baginda turut berkenan menyampaikan zakat bagi elaun imam solat terawih sepanjang Ramadan kepada 1,000 buah surau terpilih berjumlah RM2 juta.

Bantuan itu diserahkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haris Karim.

Sementara itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 83 orang asnaf fakir, 362 asnaf miskin dan 44 orang asnaf mualaf.

Mereka menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang membabitkan jumlah zakat sebanyak RM244,500.

Mengiringi baginda, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi.

=EZY=


Pengarang :