NASIONALPENDIDIKAN

182,409 lulusan SPM 2017 ditawar ke IPTA

OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 31 MEI :  Seramai 182,409 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 mendapat tawaran ke program pra universiti, sijil dan diploma di universiti awam, politeknik serta institut latihan kemahiran asas di seluruh negara bagi sesi akademik 2018-2019 pengambilan Jun.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, jumlah berkenaan termasuk 17,338 daripada keluarga berpendapatan rendah B40, 299 orang kelainan upaya (OKU), 348 Orang Asal dan 1,225 atlet sukan.
“Jumlah ini adalah peningkatan 22 peratus berbanding tahun lalu kerana kerajaan hanya menawarkan sekitar 149,000 tempat sahaja,” katanya memetik laporan BERNAMA.
Dr Maszlee berkata, beliau dimaklumkan wujudnya rintihan dalam kalangan pelajar yang mendapat keputusan cemerlang, namun tidak diterima di IPTA walaupun kerajaan sudah memastikan semua yang layak dapat melanjutkan pelajaran.
“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan berpegang dengan sikap bahawa kita akan cuba membantu semua pelajar yang layak daripada segi akademik dan mempunyai keperluan untuk dibantu,” katanya.
Beliau berkata, jika ada pihak yang tidak berpuas hati, maka mereka disarankan untuk merayu kepada Jabatan Pendidikan Tinggi dan beliau memberi jaminan semua rayuan akan diberi perhatian adil serta saksama.
“Kita tidak akan sesekali mendiskriminasi sesiapa tetapi ibu bapa perlu membuat rayuan supaya kita tahu kes yang wujud dan akan cuba membantu,” katanya.

Pengarang :