SELANGOR

2,400 warga pendidik ‘lepas geram’ dengan Azmin di Putrajaya

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 16 MEI: Selepas berpuluh tahun ‘memendam rasa’, akhirnya warga pendidik ‘melepaskan geram’ masing-masing dengan menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) khasnya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Senario berkenaan dapat dilihat sebaik sahaja Dato’ Menteri Besar itu muncul tepat jam 8.30 malam, di Majlis Apresiasi Pendidikan Sempena Perayaan Hari Guru Tahun 2018, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sebaik memasuki ruang dewan, beliau bukan sahaja tidak putus menerima ucapan tahniah, malahan warga pendidik turut mengambil kesempatan beramah mesra dengan pemimpin negeri itu.

Tidak cukup dengan ucapan tahniah, beliau turut diberi sorakan semangat dan tepukan gemuruh ketika berucap sehingga dua kali menghentikan ucapan sebelum menghabiskan ayatnya.

“Saya juga ingin melahirkan rasa syukur kerana dapat memenuhi undangan sulung daripada Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya di hadapan kira-kira 2,400 warga pendidik seluruh negara.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, 9 Mei 2018 adalah tarikh keramat kebangkitan rakyat Malaysia dan menyuarakan rasa hati serta iltizam untuk perubahan demi membangunkan bangsa bermaruah juga makmur.’

Sementara itu, pada majlis sama, Mohamed Azmin turut menyampaikan Anugerah Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2018 kepada 25 penerima.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Alias Ahmad; Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr Amin Senin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim.


Pengarang :