SELANGOR

60 Keluarga DUN Sementa dibantu beli pakaian sambut Aidilfitri

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 27 MEI: Seramai 60 keluarga dari seluruh DUN Sementa diraikan mereka dengan menerima kupon shopping bernilai RM150 untuk membeli pakaian dan kelengkapan raya tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, sumbangan itu merupakan tanggungjawab untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan.

“Program ini merupakan usaha Pertubuhan Sahabat Penyayang Selangor (PSP) yang menganjurkan program mulia itu.

“Ia meraikan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan membeli belah dalam program Shopping Sumbangan Kasih Aidilfitri Pertubuhan Sahabat Penyayang 2018 di Pasaraya Hari-Hari Pekan Kapar.

“Semoga usaha-usaha begini dapat diteruskan dan sambutan hari raya tahun ini lebih bermakna buat semua penerima,” katanya yang merasmikan program terbabit.

Sementara itu, Pengerusi PSP, Hariz Aizat Mahyudin berkata, sumbangan itu merupakan hasil daripada pihak individu dan syarikat yang prihatin menyalurkan bantuan.

Beliau berharap, dengan sumbangan pakaian itu sedikit sebanyak membantu keluarga dalam menyediakan keperluan sekali gus, dan bergembira ketika perayaan itu nanti.

“Satu lagi program yang mengukir senyuman juga bermanfaat kepada 60 buah keluarga yang memerlukan.

“Mereka dibawa membeli belah apa sahaja keperluan menjelang sambutan hari raya di Pasaraya Hari-Hari Pekan Kapar dengan nilai RM150,” katanya.

=EZY=


Pengarang :