NASIONAL

93 tahun pun nak takut?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU KURAU, 4 MEI: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyindir pihak tertentu yang kini berdepan ketakutan terlampau kepada individu berusia 93 tahun, di negara ini.

Katanya, tindakan terdesak diambil pihak berkenaan bagi menyekat kemaraan dan kebangkitan rakyat terhadap individu yang ditakuti itu.

“Saya cukup pelik, individu berumur 93 tahun itu pun ditakutkan. Gambarnya dikoyak dan beliau turut difitnah dengan teruk setiap malam.

“Itulah nasib kalau bersama Pakatan Harapan (PAKATAN), beliau terus dihina. Cuba kita bayangkan kalau individu itu kekal bersama mereka (parti lama), tidak mustahil dijulang-julang namanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana KEADILAN di Tapak Pasar Malam Tanjung Piandang, malam tadi.

Mohamed Azmin tidak menamakan individu berumur 93 tahun itu, namun ia secara jelas merujuk kepada negarawan terulung, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini ditakuti pentadbiran Putrajaya.

Ia susulan tindakan agresif pentadbiran Persekutuan yang mengenakan pelbagai tekanan terhadap bekas Perdana Menteri itu bagi tujuan menyekat sokongan rakyat terhadapnya, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Antaranya larangan memaparkan wajah Tun Mahathir pada poster PAKATAN, sepanjang tempoh berkempen.


Pengarang :