NASIONAL

ABIM agih beras sempena Ramadan

OLEH HAZIQ ISMAIL

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Kira-kira 400 keluarga asnaf terpilih menerima bantuan menerusi Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), di Masjid Al-Bukhary, di sini, semalam.

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, program kolaborasi bersama Association of Islamic Banking Institutions Malaysia (AIBIM) itu bertujuan mengurangkan beban asnaf sempena Ramadan.

Katanya, terdapat 2,000 keluarga akan menerima bantuan terbabit, di sekitar Lembah Klang.

“Sebanyak 1,000 keluarga akan menerima bantuan ini, iaitu 400 keluarga hari ini (semalam), 300 di Pantai Dalam dan 300 lagi di Semarak.

“Kami memilih 5,500 keluarga dari seluruh negara untuk mendapat bantuan sama,” katanya.

Sementara itu, penerima yang mendapat sumbangan itu mengucapkan terima kasih kepada ABIM dan AIBIM kerana memberi bantuan makanan kepada mereka.

Penerima, Zainal Abiddin, 49, bersyukur kerana bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban yang dihadapinya ketika Ramadan.

“Terima kasih kerana tidak lupa memberi sumbangan kepada kami dan dengan bantuan ini saya dapat menjimatkan perbelanjaan, pada bulan Ramadan ini,” katanya.

Manakala bagi penerima, Suriana Muhd Lahuri, 53, bantuan itu dapat menambah juadah untuk berbuka puasa dengan anaknya.

“Saya ibu tunggal menjaga tiga orang anak. Ini rezeki anak saya yang baru habis belajar,” katanya.


Pengarang :