NASIONAL

ABIM santuni pesakit Orang Asal

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 30 MEI: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan 10 sukarelawan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyantuni 12 pesakit Orang Asal di Hospital Orang Asli, di sini, semalam.

Setiausaha Agung ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, program ‘Hospital Visit’ di Hospital Orang Asli itu merupakan tahun ketiga ABIM laksanakan.

“Kita memang tidak pernah terlepas daripada menghulurkan bantuan kepada masyarakat Orang Asal di sini dan ia bertujuan menyantuni pesakit supaya mereka terasa lebih dihargai.

“Antara sebab hospital ini dipilih kerana ia unik dan kebarangkalian untuk mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) datang buat sumbangan sedikit berkurangan,” katanya.

Muhammad Faisal berkata, antara barangan disumbangkan adalah bubur lambuk, buah-buahan, makanan kering dan minuman hasil sumbangan daripada masyarakat awam sekitar Selangor.

“Penglibatan sukarelawan juga amat menggalakkan dan semoga inisiatif sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, salah seorang sukarelawan, Hafzan Azmir, 22, berkata, penglibatan golongan remaja terutamanya dalam program sebegini dapat memupuk jiwa untuk sentiasa bersyukur dan positif.

“Ini merupakan penglibatan kali pertama saya dalam program santuni masyarakat Orang Asal berbanding sebelum ini selalu fokus kepada kebajikan di rumah orang tua.

“Pengalaman ini amat berharga dan saya harap lebih ramai remaja terutamanya melibatkan diri dengan aktiviti sukarelawan kerana ia mampu memberi impak positif pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :