NASIONAL

Ada parti main isu agama ‘pancing’ undi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 3 MEI: Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Bangsa (ICERD-WD) menyelar tindakan sebilangan parti politik yang menggunakan isu membabitkan agama dan bangsa untuk meraih undi, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Program Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), Adil Zakuan berkata, kajian PEMANTAU sejak 2015 mengesan lonjakan penggunaan isu agama dan bangsa sepanjang kempen, terutama menjelang PRU14.

Katanya, isu sama turut digunakan hampir semua parti politik utama, pada tahun ini.

“Pemantauan kami turut mendapati sekitar 80 peratus daripada isu agama dan bangsa yang digunakan lebih memberi impak buruk kepada masyarakat, di Malaysia yang berbilang kaum serta agama.

“Selain itu, pemantauan dilakukan pihak kami adalah secara menyeluruh, termasuk semua landasan berita yang disiarkan akhbar, saluran dalam talian dan perkongsian orang ramai yang menghadiri kempen serta ceramah am,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Bersih, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai disaran membuat laporan kepada PEMANTAU jika mendapati isu agama dan bangsa diperalatkan mana-mana pihak mahupun individu bagi tujuan politik.

“Ini kerana, sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan ketegangan antara bangsa adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya Seksyen 4a (1).

“Adalah menjadi tanggungjawab rakyat menolak sebarang isu murahan yang sengaja ditimbulkan parti politik, khususnya berkaitan agama dan bangsa sepanjang tempoh PRU14,” katanya.


Pengarang :