GLOBAL

Aman Palestin kutuk tindakan Yahudi ceroboh Masjid Al-Aqsa

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 14 MEI: Aman Palestin mengutuk keras tindakan pencerobohan Yahudi dengan menaikkan bendera Israel dan menunaikan solat Talmud di dalam Masjid Al-Aqsa, semalam.

Aman Palestin dalam kenyataan berkata, tindakan provokasi secara terang-terangan itu jelas menghina perasaan seluruh umat Islam selain menggambarkan perancangan mereka menukar identiti masjid itu secara berterusan dan cepat.

Aman Palestin menggesa tindakan segera dan proaktif juga perlu diambil menghalang keputusan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mencabul dan melanggar undang-undang antarabangsa yang mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel.

“Seluruh umat Islam wajib bangkit memainkan peranan selaras dengan aspirasi Islam dan bukan sekadar memberikan kecaman serta kutukan semata-mata.

“Aman Palestin dan umat Islam seluruh dunia teguh dalam pendirian bahawa Baitulmuqaddis milik kekal Umat Islam dan Palestin merupakan tanah suci bagi umat Islam,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, ratusan pendatang Yahudi berarak di Baitulmuqaddis untuk meraikan peristiwa ‘penyatuan semula’ bandar itu selepas perang enam hari, pada 1967 yang kemudiannya disambut, pada 13 Mei, setiap tahun.


Pengarang :