SELANGOR

Amir dan Shaharuddin ada kekuatan sendiri

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 MEI: Haniza Talha menganggap Prof Dr Shaharuddin Badaruddin mahupun Amirudin Shari mempunyai kekuatan tersendiri jika dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar baharu.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar itu berkata, beliau melihat kedua pemimpin terbabit mempunyai wawasan selaras misi Kerajaan Selangor yang ditadbir Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Saya yakin sama ada Shaharuddin atau Amirudin akan mampu mengekalkan rentak kejayaan Selangor, namun semua keputusan terletak pada tangan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Kami semua di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan bekerja sebagai satu kumpulan untuk memacu Selangor di mata Malaysia,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Katanya, lantikan itu disifatkan sebagai kesepakatan yang boleh membawa kebaikan kepada Selangor dengan menjadikan negeri itu sebagai perintis kepada penambahbaikan projek perumahan negara.

“Zuraida seorang yang tegas dan sering turun ke lapangan, justeru saya yakin tanggungjawab beliau sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan akan digalas dengan baik,” katanya.


Pengarang :