SELANGOR

Amy Search berbuka puasa dengan anak yatim

OLEH NADIAH ZAMLUS

DAMANSARA, 18 MEI: Penyanyi rock terkenal, Amy Search meluangkan masa berbuka puasa serta menunaikan solat terawih bersama 50 pelajar Tahfiz Al-Bayan School of Quran & Hadith, di sini, semalam.

Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 60 berkata, ia adalah kali pertama dia bersama keluarga berbuka puasa di luar pada hari pertama Ramadan.

“Tetapi apabila ada yang menjemput anak-anak tahfiz ini berbuka puasa bersama, jadi saya amat berbesar hati dan mahu luangkan masa bersama mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Cheritera Oasis Discovery Centre (ODC) di Oasis Square Damansara, petang semalam.

Amy berkata, Al-Bayan School of Quran & Hadith miliknya di Sungai Buloh itu diiktiraf Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan dibuka sejak awal 2015.

Katanya, ia merupakan sebuah sekolah yang mengkhususkan pelajar daripada kalangan kanak-kanak berumur 7 hingga 15 tahun.

“Selain menghafal Al-Quran dan Hadis, mereka turut diajar Bahasa Arab selain pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan Matematik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amy berkata, dia akan mengurangkan aktiviti seni pada sepanjang bulan Ramadan sekali gus mengambil kesempatan meluangkan masa bersama keluarga.

“Pada waktu beginilah saya ada masa untuk fikirkan keperluan rumah pada hari raya nanti, dan inilah waktu terbaik untuk beribadat bersama keluarga,” katanya.


Pengarang :