NASIONAL

Anggota polis terkilan kad pengenalan ‘disahkan mengundi’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 MEI: Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semalam ‘dicemari’ insiden seorang anggota keselamatan tidak dibenarkan membuang undi disebabkan kad pengenalannya telah ‘disahkan mengundi’.

Ahmad Fadli Zahar, 38, seorang anggota polis terkejut selepas beliau tidak boleh membuang undi di lokaliti 121/00/01/704, Dewan Badminton PERKEP, Ibupejabat Polis Bukit Aman pada jam 1 petang apabila dimaklumkan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa beliau sudah disahkan mengundi menerusi semakan kad pengenalan di saluran (1).

Dalam laporan polis yang dibuat pada jam 4.45 petang di Balai Polis Dang Wangi Kuala Lumpur, beliau menyatakan sudah menunjukkan bukti jarinya tidak mempunyai sebarang kesan dakwat kekal kepada pegawai berkenaan.

“Seorang pegawai SPR telah mengambil kad pengenalan milik saya dan telah berbisik kepada saya untuk berbincang di luar dan menunggu semakan daripada pihak SPR.

“Selama hampir dua jam menunggu di luar saluran, pegawai itu berbalik berbincang dan meminta saya bersabar sehingga proses pengundian selesai.

“Saya telah mengambil keputusan untuk membuat semakan semula ke atas nama saya dan sekali lagi pegawai SPR tersebut memaklumkan kepada saya yang saya tidak layak mengundi,” katanya dalam laporan.

Dalam laporan itu beliau melahirkan rasa terkilan terhadap tindakan dan kesilapan SPR sehingga menidakkan haknya sebawai warganegara Malaysia untuk mengundi.

SelangorKini berjaya menghubungi Ahmad Fadli menerusi aplikasi Whatsapp dan beliau mengesahkan laporan polis berkenaan.

Beliau mengakui melakukan semakan nama di daftar pemilih sebelum tampil untuk membuang undi kerana ini merupakan PRU yang kedua beliau mengundi awal dan kali pertama gagal berbuat demikian.

“Ada (buat semakan daftar pemilih), nama saya telah diundi oleh orang lain,” katanya.

=EZY=


Pengarang :