SELANGOR

Angka keramat, nombor 3 untuk Bukit Antarabangsa

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 5 MEI: Calon N16, Bukit Antarabangsa, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu untuk memangkah calon nombor tiga pada kertas undi DUN berkenaan pada, Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14), 9 Mei ini.

Beliau berkata, pemilik angka keramat itu telah melaksanakan mandat pentadbiran negeri dengan cukup baik dan wajar dikekalkan.

“Saya mohon jasa pengundi untuk memilih calon nombor tiga itu. Calon-calon nombor lain dengan logo-logo mereka itu tidak perlulah kita pandang pun.

“Sekarang ini ada banyak calon dan parti. Rakyat pula terpaksa tengok setiap seorang calon di atas kertas undi nanti. Jadi saya bimbang takyat membuang masa tengok nombor calon-calon lain itu.

“Jadi, saya nasihatkan, tengok sahaja nombor tiga itu dan pangkahlah beliau.

“Tak perlu pandang nombor dan calon lain. Jangan tengok dacing karat, jangan pandang bulan malap, jangan pula tengok parti gajah,” seloroh Mohamed Azmin mengundang tawa lebih 7,000 warga Lembah Jaya yang hadir pada Program Ceramah DUN berkenaan, di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.

Calon nombor tiga merujuk kepada kedudukan turutan Mohamed Azmin pada kertas undi, N16 Bukit Antarabangsa.

Mohamed Azmin diletakkan sebagai calon kerusi berkenaan bagi mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya pada pilihanraya lalu dengan 16,502 undian.

Kerusi N16 Bukit Antarabangsa menyaksikan pertembungan empat pencabarnya dalam usaha mengekalkan kerusi Dato’ Menteri Besar Selangor itu.

Salah seorangnya ialah adiknya sendiri iaitu selebriti tanahair, Mohamed Azwan Ali yang bertanding atas tiket Bebas dengan menggunakan logo Gajah.

Manakala tiga calon lain, Salwa Yunus (BN), Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan Ahmad Kamaruddin (PRM) yang melengkapkan saingan lima penjuru di kawasan itu.

=EZY=


Pengarang :