NASIONAL

Anwar, Azizah dan Mohamed Azmin menghadap Agong

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 MEI: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, jam 12.30 tengah hari ini.

Perkara itu disampaikan Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerusi surat rasmi daripada Istana Negara yang memaklumkan pengesahan balas pertemuan itu, di Istana.

“Saya telah mendapat titah daripada Seri Paduka Agong untuk menyampaikan surat rasmi kepada Datuk Seri Anwar untuk memaklumkan bahawa Agong telah berkenan untuk menerima menghadap Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Dr Wan Azizah di Istana, jam 12.30 tengah hari ini.

“Saya akan sampaikan pemakluman ini, dan kami akan bergerak sekitar jam 11.30 pagi untuk ke Istana,” katanya ketika hadir di Hospital Rehabilitasi, Cheras sebentar tadi.

Dilaporkan, Anwar akan dibebaskan selepas Mesyuarat Pengampunan Diraja selesai, pagi ini.

Sebelum itu, Mohamed Azmin menjunjung kasih akan perkenan Agong dalam pengampunan kepada Anwar itu.

“Saya ingin merakamkan junjung kasih perkenan Tuanku akan pengampunan kepada Anwar dan mengembalikan hak dalam semua aktiviti yang dibenarkan undang-undang,” katanya.

Anwar sebelum ini menjalani sabitan fitnah 2 dan berdepan hukuman penjara, 5 tahun di Penjara Sungai Buloh.

Bekas Ketua Pembangkang itu kini ditempatkan di Hospital Rehabilitasi Cheras, bagi mendapatkan rawatan susulan kecederaan bahunya.


Pengarang :