NASIONAL

‘Anwar’ dan ‘Tun M’ sapa pengundi Pulau Pinang

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 4 MEI: Pengunjung Pasar Bayan Baru di Pulau Pinang terkejut apabila disapa Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, ia hanyalah gimik calon PAKATAN, Sim Tze Tzin bersama penyokongnya yang memakai topeng Anwar dan Tun Mahathir.

Tze Tzin yang juga calon P52 Bayan Baru berkata, beliau sengaja mahu menyindir Barisan Nasional (BN) apabila dilihat seolah takut dengan dua pemimpin gergasi PAKATAN itu.

Katanya, pihaknya kecewa kerana wajah dua pemimpin Malaysia itu dilarang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika berkempen atas alasan tidak munasabah.

“Disebabkan itu, penyokong PAKATAN memakai topeng Tun Mahathir dan Anwar serta berarak di sekitar pasar di Bayan Baru, selepas ini kami akan gerakkan lebih ramai Anwar dan Tun Mahathir.

“Adakah sememangnya dua pemimpin ini sangat ditakuti BN? Kita lihat sahaja pada 9 Mei ini,” katanya.

Sebelum ini, Tze Tzin yang juga Pengarah Strategi KEADILAN mendedahkan beliau turut menerima kesan apabila bunting gergasi yang mempamerkan wajahnya bersama Tun Mahathir dipotong SPR.


Pengarang :