NASIONAL

Anwar: Kuasa rakyat, tegak keadilan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 MEI: Kuasa rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu menjadi saksi kepada kejatuhan pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang tidak adil dan menekan rakyat sejak sekian lama.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebangkitan rakyat membuktikan perubahan boleh dilakukan di negara ini dengan tertegaknya kebenaran sekali gus membawa kepada pembebasannya.

“Saya amat terharu, tiga tahun saya ambil cuti tanpa elaun (dipenjarakan).

“Saya bersyukur kepada Allah kerana jasa saudara semua, saya bebas berdiri di sini. Kalau (Datuk Seri) Najib (Razak) menang, saya balik ke Sungai Buloh,” katanya dalam Himpunan Merdeka Rakyat di Padang Timur Amcorp Mall, malam tadi.

Beliau berkata, pengampunan penuh Lembaga Pengampunan dipengerusikan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V, menjadi saksi segala pertuduhan ke atasnya adalah rekaan semata-mata.

“Dari penjara ke istana, pengampunan penuh.

“Pegawai penjara kata tak perlu tandatangan apa-apa kerana saya dibersihkan terhadap sebarang rekod kesalahan,” katanya merujuk pertemuan bagi menjunjung kasih kepada Yang Dipetuan Agong yang disertai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Sero Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kejatuhan BN diketuai Najib dalam PRU lalu, membuka era baharu dalam pentadbiran negara dengan PAKATAN diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, perlu menegakkan keadilan demi kepentingan rakyat.

Anwar mendapat pengampunan Yang Dipertuan Agong, semalam, berikutan kemenangan PAKATAN mengambilalih Putrajaya daripada BN.

 


Pengarang :