NASIONAL

Asingkan portfolio kewangan daripada KM/MB, contohi Kerajaan Persekutuan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 MEI: Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4) mahu kerajaan di peringkat negeri menjadikan Kerajaan Persekutuan sebagai contoh dengan mengasingkan portfolio kewangan daripada Ketua Menteri atau Menteri Besar.

Pengarah Eksekutifnya, Cynthia Gabriel berkata pengasingan itu seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya, ia kini diamalkan Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apa yang dijanjikan dalam semangat di peringkat Persekutuan juga perlu diamalkan di peringkat negeri.

“C4 mengesyorkan semua kerajaan negeri, membuat perubahan sama dalam semangat reformasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Cynthia berkata portfolio kewangan terdedah kepada penyalahgunaan dan risiko itu semakin memburuk kerana banyak negeri memiliki dan mengendali firma pelaburan negeri.

“Banyak Kerajaan Negeri yang mengumumkan portfolio exco atau kabinet, masih mengekalkan amalan portfolio kewangan atau perancangan ekonomi dipegang ketua menteri.

Pada masa sama, beliau memuji Dr Mahathir kerana mendengar permintaan masyarakat tentang tidak memegang jawatan menteri lain seperti dijanjikan manifesto PAKATAN.

“Pengasingan sedemikian mempunyai sebab jelas dan logik. Jika terdapat pengajaran daripada krisis 1MDB, penumpuan kuasa seperti ini membuka jalan bagi penyalahgunaan, dan pengasingan juga perlu diamalkan kerajaan negeri,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :