BERITA UTAMANASIONAL

Azmin jumpa Tun Dr M malam ini bincang peranan di Putrajaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, akan mengadakan pertemuan lanjut bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini atau selewat-lewatnya pagi esok bagi mendapatkan penjelasan berhubung bidang tugas kementerian untuk membantu pentadbiran, di Putrajaya.

Beliau sudah menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung kedudukan beliau yang dipilih untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi selepas diperkenan Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Namun, beliau belum dimaklumkan berhubung senarai Menteri Persekutuan yang baru dan hanya mengetahui perkara itu selepas mengetahuinya daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, sebentar tadi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memberikan kepercayaan kepada saya menerajui sebuah kementerian yang kanan.

“Sudah tentu beban tugasnya agak besar dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

“Namun, saya sudah menyembah maklum kepada Sultan Selangor sebentar tadi berhubung maklumat yang dierolehi dan turut persembahkan kepada tuanku bahawa saya akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, secepat mungkin.

“Mungkin malam ini juga untuk mendapat penjelasan lebih lanjut skop tugas yang diamanahkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, di sini.

Beliau akan mengadap Sultan Sharafuddin esok untuk mempersembahkan hasil pertemuan bersama perdana menteri bagi memutuskan apa peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan sama ada kekal di Selangor atau Persekutuan.

Mohamed Azmin berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi esok berhubung hasil perbincangan bersama kedua-dua pihak.

“Segalanya tertakluk kepada perbincangan saya dengan perdana menteri.

“Memang dimaklumkan, perdana menteri mahu saya memainkan peranan di peringkat Persekutuan tetapi tidak dimaklumkan kementerian mana,” katanya.

Turut dipilih menjadi Menteri Persekutuan adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin yang bakal memegang portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sementara Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri bakal memegang portfolio Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.


Pengarang :