BERITA UTAMASELANGOR

Azmin kembali mula tugas Dato’ Menteri Besar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 14 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini kembali memulakan tugas rasmi sebagai Dato’ Menteri Besar, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selepas mengangkat sumpah di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat lalu.

Beliau tiba di pejabatnya di Tingkat 21 sebelum melakukan ‘punch card’ kali pertama, pada jam 7.48 pagi sambil disaksikan Setiausaha Kerjaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron.

Mohamed Azmin kemudiannya turun ke Foyer SUK dan bersarapan bersama ketua jabatan agensi negeri.

Dalam amanatnya, beliau menyatakan akan memberikan keutamaan menyelesaikan penstrukturan semula industri air Selangor yang tertangguh sejak sekian lama, selain mengekalkan kedudukan sebagai negeri industri.

“Saya akan memberikan perhatian penting terhadap beberapa perkara dengan keutamaan menyelesaikan industri perkhidmatan air yang tertangguh sejak sekian lama.

“Saya juga mahu Selangor bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menarik lebih banyak pelabur dan pastinya peranan Invest Selangor akan jadi lebih mencabar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Insiatif Peduli Rakyat (IPR) akan diteruskan bagi membantu rakyat kerana ia menjadi tarikan utama sepanjang tempoh berkempen Pakatan Harapan (PAKATAN) dan turut menarik perhatian rakyat, di negeri lain.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penjawat awam Selangor yang bekerja kuat merealisasikan dasar Kerajaan Negeri.

Katanya, penjawat awam Selangor pasti akan menjadi contoh dan rujukan untuk membantu Persekutuan berdasarkan pengalaman hampir 10 tahun di bawah pentadbiran PAKATAN.


Pengarang :