Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin mampu terjemahkan kejayaan Selangor di Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MEI: Kecemerlangan rekod Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor dijangka mampu diteruskan di peringkat Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, selain kecemerlangan prestasi Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar, latar belakang pendidikan dalam bidang ekonomi dan matematik di Universiti Minnesota di Amerika Syarikat dijangka memberi kelebihan kepadanya.

“Saya yakin dia mampu mengendalikan atau mengurus Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dengan baik walaupun rekod dia di Selangor walaupun agak pendek, kurang lima tahun tetapi boleh kita katakan sebagai amat baik.

“Berbekalkan pengalaman beliau mengurus Selangor dengan ekonomi negeri berkembang, pengurusan kewangan amat baik serta hasil yang tinggi, semuanya adalah faktor kita boleh nilai dan menunjukkan beliau mampu untuk mengurus Hal Ehwal Ekonomi Negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini.

Rosli berkata, Mohamed Azmin berjaya menguruskan ekonomi Selangor tanpa kontroversi dengan gaya kempimpinan berorientasikan kepentingan rakyat.

Katanya, selain berjaya meningkatkan rizab negeri, Mohamed Azmin juga berjaya menambah hasil Kerajaan Negeri.

Katanya, selain kejayaan mengurus ekonomi, Mohamed Azmin turut memiliki integriti kukuh sekaligus menjamin keselamatan aset negara.

“Saya yakin beliau mampu kembangkan kejayaan seperti di Selangor ke peringkat pusat, lebih-lebih lagi bukan sahaja berjaya mengurus ekonomi Selangor tetapi pentadbiran Selangor keseluruhannya dia boleh manfaatkan di peringkat pusat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :