NASIONAL

Azmin optimis PAKATAN bentuk Kerajaan Persekutuan 10 Mei

OLEH SHEEDA FATHIL

HULU KELANG, 5 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yakin bahawa Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan, pada 10 Mei nanti.

Mohamed Azmin berkata, beliau menepis sebarang spekulasi sesetengah pihak yang mengatakan bahawa kononnya PAKATAN tidak mempunyai kerusi yang cukup untuk menang.

“Saya yakin PAKATAN akan menang dan mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Tidak timbul sebarang spekulasi kerusi tidak cukup kerana sekarang semua sedang dalam ‘mood’ dan PAKATAN pasti membentuk kerajaan pada 10 Mei nanti,” katanya selepas Program Menyantuni Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, AU4, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin kerana lihat sahaja sokongan rakyat terhadap Jelajah PAKATAN di beberapa negeri amat baik dan di luar jangkaan.

“Sambutan diberikan rakyat cukup baik, lihat sahaja kehadiran penyokong di Taman Kosas dan Melaka semalam, benar-benar di luar jangkaan sekali gus meyakinkan kami untuk menang di sana.

“Saya percaya dengan program dan pertemuan seperti ini sudah pasti dapat mengukuhkan komitmen rakyat untuk terus bersama menyokong PAKATAN,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin hadir pada Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya yang menyaksikan lebih 7,000 warga Ampang hadir di Padang Awam Taman Kosas, malam tadi.


Pengarang :