NASIONAL

Azmin: Siasat Tun M, BN terdesak

OLEH HAFIZAN TAIB

AMPANG, 3 MEI: Tindakan polis menjalankan siasatan ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN), Tun Dr Mahathir Mohamad, dianggap usaha terdesak Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia jelas satu bentuk gangguan dan intimidasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan BN terhadap Dr Mahathir juga PAKATAN.

“Sebenarnya mereka dalam keadaan terdesak dan tindakan ini akan memperkukuhkan lagi sokongan rakyat terhadap pembangkang.

“Ia akan lebih menguatkan azam kita untuk menentang BN dalam PRU ini,” katanya kepada media selepas program sarapan pagi bersama rakyat di Flat Taman Dagang, di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, tindakan terdesak itu juga terlihat apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memotong dan membuang gambar Dr Mahathir dan Ketua Umum PAKATAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada poster kempen PRU PAKATAN.

Katanya, perkara seperti itu tidak pernah berlaku dalam PRU lalu sejak zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri hingga ke zaman Najib dengan banyak gambar beliau terpapar.

“Ia berlaku sekarang dan apa yang Najib nak takutkan?

“Namun biarkan mereka (BN) lakukan (perkara berkaitan) tetapi saya yakin rakyat bertambah marah kepada BN dan ia akan membantu kita dalam PRU nanti,” katanya.

Menurut laporan media, Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 ekoran dakwaan dibuatnya mengenai pesawat dijadual membawa beliau ke Langkawi disabotaj pihak tertentu.


Pengarang :