BERITA UTAMANASIONAL

Azmin, Wan Azizah dan 11 yang lain sah Menteri Persekutuan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Istana Negara, di sini, hari ini.

Timbalan Presiden KEADILAN itu bersama Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin, menyertai anggota kabinet lain melafazkan sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Upacara itu diadakan selepas senarai nama Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Menteri Persekutuan dipersembahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong, pada 18 Mei lalu.

Mendahului acara ialah Dr Wan Azizah yang dilantik Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga diikuti Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan); Presiden Parti Pribumi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri) serta Presiden AMANAH, Mohamad Sabu (Menteri Pertahanan).

Meneruskan acara membabitkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik (Menteri Pendidikan); Ahli Parlimen Titiwangsa, Rina Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Mohamed Azmin.

Manakala giliran seterusnya, Zuraida (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook (Menteri Pengangkutan) dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia).

Melangkap senarai, Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Naib Presiden DAP, M Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia) dan Pengarah Strategi AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Selain Tun Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Hasmah Mohd Ali, acara bermula kira-kira jam 5.30 petang itu turut dihadiri Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa; Ketua Hakim Negara, Tun Raus Shariff dan hadirin lain.


Pengarang :