SELANGOR

Azmizam: Telok Gong penentu kemenangan

OLEH SHEEDA FATHIL

TELOK GONG, 9 MEI : Calon N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri berharap pengundi di Telok Gong terus keluar mengundi sehingga saat-saat akhir sekali gus menyumbang undi kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Azmizam berkata, Telok Gong merupakan penentu kemenangan bagi PAKATAN memandangkan majoriti pengundi di situ sejumlah 3,800 berbanding di daerah lain.

“Saya menyeru kepada masyarakat di Telok Gong supaya keluarlah mengundi walau macam mana sekali pun memandangkan Pilihan Raya Umum (PRU) hanya berlaku lima tahun sekali.

“Sekiranya anda mahu masa depan kita dan seluruh generasi akan datang tidak terus berada dalam keadaan tertekan dengan kesempitan ekonomi, luangkan masa sebentar sahaja dan berfikir secara rasional dengan memilih parti yang benar untuk mentadbir negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Daerah Mengundi di Sekolah Agama Rakyat Al-Mumtaz, Masjid Telok Gong, di sini, hari ini.

Azmizam turut menyeru kepada seluruh pengundi di daerah mengundi yang lain untuk bersama menyokong dan memangkah PAKATAN jika mahukan sebuah kerajaan tidak menekan rakyat.

“Pada masa sama, saya berasa bangga apabila melihat kebanyakan pengundi yang hadir terdiri daripada golongan millenials dan tidak kurang juga warga emas.

Terdahulu, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, PAKATAN mengalami kekalahan teruk di Telok Gong dan merupakan kubu kuat BN.

Bagaimanapun, Azmizam bertekad untuk merampas Telok Gong dan memastikan ia menjadi kubu kuat PAKATAN.

=EZY=

 


Pengarang :