BERITA UTAMANASIONAL

Bantuan Aidilfitri RM400 buat penjawat awam bawah Gred 41, pesara RM200

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MEI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bantuan khas Aidilfitri sebanyak RM400 buat penjawat awam di bawah Gred41 sementara pesara pula bakal menerima RM200.

Melalui pengumuman yang sama, kesemua pengguna lebuhraya di negara ini akan menerima diskaun tol sebanyak 50 peratus dua hari sebelum Aidilfitri.

“Sementara itu harga minyak RON95 akan dikekalkan sementara RON97 diapungkan, Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) pula akan digantikan dengan Bantuan Sara Hidup yang baru.

“Kerajaan terpaksa menurunkan perbelanjaan memandangkan sebelum ini begitu banyak perbelanjaan membazir, namun penurunan akan dilakukan tanpa menjejaskan pentadbiran,” katanya.

Kabinet turut memutuskan Bantuan Sara Hidup bagi menggantikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan akan disalurkan pada 6 Jun dengan kadar sama.

Perdana Menteri berkata, harga petrol RON95 akan dikekalkan manakala RON97 akan diapungkan mengikut harga pasaran.

“Esok taklimat penuh akan dibuat Kementerian Kewangan,” katanya.


Pengarang :