PBTSELANGOR

Bayar cukai taksiran segera – MPAJ

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 MEI: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggesa supaya pemilik premis segera membuat bayaran cukai taksiran tanpa sebarang penangguhan.

Yang Dipertua (YDP) MPAJ, Abd Hamid Hussain berkata, gesaan itu termasuk kepada pemilik rumah kediaman, bangunan perniagaan, bangunan industri dan kawasan tanah lapang.

Katanya, pada tahun ini sebanyak 241,572 bil telah diedarkan dengan nilai RM46.06 juta bagi tempoh setengah tahun pertama dan setengah tahun kedua.

“Tarikh bayaran akhir ialah pada 31 Ogos 2018, pengecualian hanya melibatkan 51,287 unit sahaja denga nilai bil sebanyak RM9.87 juta.

“Tetapi pemilik rumah kos rendah dan kampung masih perlu menjelaskan tunggakan cukai taksiran bagi 2015 dan tahun sebelumnya, adalah diingatkan pengecualian adalah hanya tertakluk pada 2016 hingga 2018 sahaja,” katanya ketika ucapan Mesyuarat Penuh MPAJ pagi tadi.

Abd Hamid turut memaklumkan operasi kutipan selepas penghantaran notis E dan waran April 2018 telah dilaksanakan di beberapa lokasi dengan rekod tunggakan cukai taksiran belum berbayar.

“Antara lokasinya ialah Taman Sering Ukay, Tropika Kemensah, Taman Nusa Tropika, Puncak Kayangan Kemensah, Bukit Palma Kemensah, Taman Bayu Kemensah, Taman Sieera Ukay dan Taman Bukit Indah.

“Penduduk diingatkan supaya membayar cukai taksiran walaupun premis dibiarkan kosong,” katanya.


Pengarang :