SELANGOR

Bazar Ramadan Mampan MPKj, galak amalan hijau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 31 MEI: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memperkenalkan Program Bazar Ramadan Mampan dan Karnival Pengguna bagi menggalakkan amalan bebas beg plastik di kawasan pentadbirannya.

Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPKj dalam kenyataannya memaklumkan, inisiatif itu dilaksanakan sebagai mendukung hasrat Kerajaan Negeri menggalakan amalan pembudayaan hijau di negeri itu.

“MPKj menggalakan peniaga memakai topi dan apron bagi memastikan keseragaman dan kebersihan kawasan tapak bazar dapat dikekalkan.

“Program ini bersekali dengan Kempen #BebasPlastik 2018 bagi menangani isu alam sekitar dan menitik beratkan hal-hal kitar semula selain meningkatkan kesedaran dan pendidikan kepenggunaan dalam kalangan warga MPKj.

“Program ini juga diadakan sebagai salah satu bentuk elemen menyampaikan maklumat kepada orang awam, sekali gus mempromosikan kempen bebas beg plastik 2018,” menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, MPKj turut menyambut baik inisiatif ‘Cashless Society’ menerusi penggunaan E-Wallet ke arah penjimatan penggunaan wang ketika berbelanja di bazar Ramadan.

“Usaha ini dikenalpasti sebagai saranan pelaksanaan pintar oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bagi mewujudkan masyarakat Selangor sebagai pengguna tanpa wang tunai menjelang 2022,” katanya.


Pengarang :