BERITA UTAMASELANGOR

Belum ada senarai pendek, minggu depan bincang calon MB baru

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MEI : Khabar angin tiga nama calon bakal Dato’ Menteri Besar Selangor yang hangat diuar-uarkan hanya khabar angin, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita akan bincang perkara ini, minggu depan. Belum ada sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis bacaan yasin dan berbuka puasa bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA, di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada jawatan berkenaan diberi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Gerakan Demokrasi, Parti Amanah Negara atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mohamed Azmin berkata, ia masih dalam perbincangan dan siapa yang layak, maka beliau akan memegang jawatan terbabit.

“Sama ada kekalkan kepada KEADILAN atau tidak, ia akan dibincangkan kerana masih ada masa lagi.

“Setakat ini, belum ada mana-mana nama disenarai pendek sebagai calon Dato’ Menteri Besar. Selepas sudah ada nama, baru kita akan serahkan kepada tuanku,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengakui portfolio dipegang beliau kini amat berat dan perlu memberi fokus lebih berbanding, sebelum ini.

“Saya sudah maklumkan kepada tuanku. Apabila tuanku sudah berkenan dengan nama yang akan diserahkan itu, maka proses angkat sumpah akan dijalankan, secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, antara nama yang disebut sebagai calon Dato’ Menteri Besar adalah Exco Kerajaan Negeri iaitu Amirudin Shari dan Dr Shaharudin Badaruddin serta Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.


Pengarang :