SELANGOR

Biru muda pilihan hati Saupiah

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 MEI: Seorang warga emas, Saupiah Ibrahim, berubah angin ke arah ‘biru muda’ selepas melihat sifat kepimpinan dalam diri calon N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

Saupiah, 74, yang sudah terlantar di atas kerusi roda sejak tahun lalu ekoran sakit tua memuji Azmizam sejak mula masuk ke Pelabuhan Klang.

“Azmizam rajin turun padang berjumpa rakyat walaupun pada masa itu beliau adalah Penyelaras DUN Pelabuhan Klang dan belum memegang jawatan sebagai wakil rakyat.

“Sebelum ini, saya dan keluarga lebih memihak kepada biru tua (Barisan Nasional), namun disebabkan kos sara hidup yang semakin meningkat membuatkan berubah hati memilih biru muda (Pakatan Harapan – PAKATAN),” katanya kepada SelangorKini.

Saupiah berkata, sejak PAKATAN mentadbir, pelbagai inisiatif diterima antaranya kad Peduli Sihat yang membolehkan beliau mendapat rawatan di klinik swasta.

Sementara itu, Azmizam sempat meluangkan masa hampir 30 minit untuk sesi beramah mesra selain menyelami masalah warga emas berkenaan dan memberi tips kesihatan kepada Saupiah.

Azmizam berkata, kunjungan beliau ke rumah itu bukan sekadar meraih undi demi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi ia sememangnya sudah menjadi lumrah sejak menjadi Penyelaras DUN.

“Saya mendoakan beliau cepat sembuh dan diberi kesihatan seperti sedia kala,” katanya.


Pengarang :