SELANGOR

BN tiada calon, Noh hanya ‘liabiliti’

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MEI: Tan Sri Noh Omar dianggap sebagai ‘liabiliti’ jika dicalonkan Barisan Nasional (BN) sebagai Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, ketandusan calon berkaliber dan berwibawa juga menyebabkan ia tidak setanding Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“BN tidak mempunyai calon berkaliber dan ada calon diimport dari luar, kalau lihat kepimpinan BN, saya tidak fikir BN boleh setanding dengan Mohamed Azmin.

“Jika Tan Sri Noh Omar pula, ia calon liabiliti jika mahu diangkat memegang jawatan Menteri Besar,” katanya.

Shuhaimi berkata, ketiadaan calon juga menyebabkan BN terpaksa mengguna semula beberapa isu antaranya air, peneroka Ijok dan sampah.

“Sebagai contoh, isu peneroka Ijok dengan BN mempunya peluang selama 18 tahun untuk menyelesaikannya tetapi gagal, berbanding kita hanya dua tahun, masalah selesai.

“Persoalannya bagi saya, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri sentiasa menyelesaikan masalah mengikut formula global dan situasi menang-menang.

 


Pengarang :