BERITA UTAMASELANGOR

Bonus Aidilfitri ikut prestasi kewangan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 28 MEI: Pemberian insentif bantuan kewangan kepada penjawat awam sempena sambutan Aidilfitri tertakluk kepada prestasi kerja dan kedudukan kewangan negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pentadbiran negeri akan mendapatkan maklum balas daripada perbendaharaan sebelum pengumuman lanjut dibuat dalam tempoh terdekat.

“Soal apakah jumlah bonus atau insentif bagi tahun berikutnya, tertakluk kepada prestasi penjawat awam dan kedudukan kewangan.

“Saya tidak mahu berjanji terhadap sesuatu perkara yang tidak boleh kita laksanakan,” katanya kepada pemberita pada Program Iftar Perdana bersama rakyat Gombak di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, semalam.

Terdahulu, penjawat awam di Selangor menerima insentif kewangan tiga bulan, sekali gus menyaksikan negeri itu paling tinggi menyalurkan bonus kepada kakitangannya.

Pada masa sama, Mohamed Azmin sebelum ini pernah memberi bayangan akan memberikan bonus lebih dari tiga bulan gaji, jika Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal menerajui kepimpinan negeri.

“Mungkin lebih tiga bulan (bonus akan diberikan) atas prinsip adil dan berdasarkan merit serta prestasi (penjawat awam),” katanya.

Kenyataan itu disampaikan Mohamed Azmin pada Majlis Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam, April lalu.


Pengarang :