SELANGOR

Bukit Kapar bukan lagi kubu kuat Umno

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAPAR, 1 MEI: Barisan calon Parlimen Kapar (P109) Pakatan Harapan (PAKATAN) terkejut dengan kehadiran penduduk Kampung Bukit Kapar yang melebihi jangkaan ketika ceramah perdana malam tadi.

Sebelum Ceramah Jelajah Harapan Sementa itu bermula pada jam 10.45 malam, terdengar khabar angin hanya 50 orang penduduk sahaja yang akan datang.

Namun sangkaan tersebut meleset apabila lebih daripada 1,000 penduduk Kampung Bukit Kapar membanjiri ceramah perdana tersebut.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali juga menyatakan rasa terkejutnya dengan jumlah kehadiran orang ramai itu.

Katanya, ia jelas menunjukkan kampung berkenaan bukan lagi kubu kuat Umno yang selama ini selalu dicanangkan.

“Saya tidak sangka begitu ramai penduduk Bukit Kapar hadir pada malam ini, sedangkan saya dengar kononnya di sini kubu kuat Umno.

“Lagi ramai orang Umno, lagi hendak saya datang, ini kerana presidennya yang telah bersama Umno lebih 20 tahun iaitu Tun Dr Mahathir Mohamed sudah tinggalkan Umno, beliau sendiri mengatakan pengundi perlu ‘kuburkan’ Umno pada 9 Mei nanti.

“Tun Mahathir sudah buang Umno, kita pula hendak tunggu apa lagi?, jangan gadaikan maruah dengan pemberian kain pelikat, beras dan sebagainya. Maruah kita lebih tinggi daripada itu, jangan gadaikan negara sendiri,” katanya sambil disorak hadirin.

Ceramah perdana itu turut dihadiri calon Parlimen Kapar (P109), Datuk Abdullah Sani Hamid, calon N42 Meru, Mohd. Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, calon N43 Sementa, Dr Daroyah Alwi dan Datuk Abdul Rashid Asari, calon N44 Selat Klang.

Sehingga 12 April 2018, seramai 124, 983 pengundi direkodkan di Parlimen Kapar, dengan majoriti pengundi Melayu sebanyak 71 peratus, Cina sebanyak 15 peratus, manakala India sebanyak 14 peratus dan lain-lain, satu peratus.

 

 

 

 

=EZY=


Pengarang :