NASIONAL

Bursa Malaysia catat lantunan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 31 MEI: Bursa Malaysia mencatat lantunan untuk dibuka lebih tinggi pagi ini dengan keyakinan diperbaharui dan kembalinya minat belian dalam kaunter utama terpilih, selepas mencatat penyusutan ketara baru-baru ini, kata peniaga.

Memetik laporan BERNAMA, pada 9.16 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 24.03 mata pada 1,743.31 berbanding 1,719.28 penutup Rabu.

Indeks itu dibuka 12.37 mata lebih kukuh pada 1,731.65.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 323 berbanding 125 manakala 1004 tidak berubah, 482 tidak didagangkan dan 54 yang lain digantung.

Sejumlah 859.67 juta saham bertukar tangan bernilai RM332.39 juta.

Public Investment Bank Bhd, dalam satu nota penyelidikan pagi ini, berkata pasaran pulih daripada kejatuhan semalam selepas munculnya harapan bahawa Itali berkemungkinan dapat mengelak daripada mengadakan pilihan raya baharu.

Dalam kalangan kaunter utama, Maybank menokok 19 sen kepada RM9.76, Public Bank naik 28 sen kepada RM24.26, TNB menambah 60 sen kepada RM14.74, Petronas Chemicals naik 12 sen pada RM8.11, dan CIMB menambah sembilan sen kepada RM5.99.

Dalam kalangan kaunter aktif, Sapura Energy mengukuh dua sen kepada 60.5 sen, MyEG naik satu sen kepada 77.5 sen, Hibiscus Petroleum naik tiga sen kepada 90.5 sen, manakala Anzo dan P.A Resources mendatar masing-masing pada lima sen dan enam sen.


Pengarang :