NASIONAL

Cadangan penambahbaikan sistem pendidikan terima 11,000 respon

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 MEI: Cadangan penambahbaikan sistem pendidikan negara yang dibuka kepada netizen di Facebook rasmi Menteri Pendidikan menerima hampir 11,000 respon.

Menurut kenyataan dikeluarkan pengendali laman terbabit, cadangan itu terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi memudahkan pasukan terbabit membuat laporan terus kepada Dr Maszlee Malik.

“Setakat ini kami menerima hampir 11,000 respon bernas dari Tuan/Puan. Kami tutup pautan link ini buat sementara waktu untuk memudahkan laporan dibuat kepada Dr Maszlee Malik,” tulisnya di laman terbabit.

Sebelum itu, status membuka cadangan kepada awam ternyata mendapat sambutan apabila menerima 4,162 perkongsian dan lebih 3,000 netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap status terbabit.

Cadangan yang dimuat naik sejak jam 9 pagi semalam itu dibuat ekoran terlalu banyak lontaran pandangan netizen kepada Dr Maszlee di ruang komen bagi meningkatkan sistem pendidikan negara.

Antara yang menarik perhatian adalah cadangan dikemukakan pemilik akaun Razak Shaari yang menggesa kementerian memantau sistem pemberian biasiswa.

Katanya, terdapat pihak yang rapat dengan kementerian menyalahgunakan proses itu bagi memberi biasiswa kepada anak dan saudara terdekat masing-masing, sekali gus menafikan hak rakyat.

“Anak golongan atasan Kementerian Pelajaran yang mempunyai kriteria kelulusan lebih senang mendapat tempat dengan mengunakan jalan belakang.

“Begitu juga golongan menteri, ketua jabatan dan kementerian senang manipulasi pemberian bantuan biasiswa untuk anak-anak mereka. Iklan hanyalah untuk mengaburi mata rakyat jelata,” tulisnya.


Pengarang :