SELANGOR

Calon N.43 Sementa selesai tunai tanggungjawab

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 MEI: Calon N.43 Sementa, Dr Daroyah Alwi selesai menunaikan tanggungjawab beliau membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Beliau mengenakan baju kurung biru muda seakan warna bendera Pakatan Harapan (PAKATAN) itu turut mendapat perhatian pengundi di daerah berkenaan.

Daroyah berkata, beliau bangga apabila ada segelintir pihak yang mengenalinya walaupun beliau bukan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ.

“Sedang saya beratur, ada beberapa pengundi di belakang dan hadapan saya menyapa dan mahu berswafoto.

“Pada masa sama, saya amat teruja apabila melihat sangat ramai orang keluar mengundi dan sanggup beratur di tengah panas,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, semoga dengan kehadiran ramai pengundi itu dapat mengubah kerajaan sedia ada pada masa kini.

“Sebelum anda membuang undi, fikirlah yang terbaik demi masa depan anak cucu cicit kita pada masa akan datang,” katanya.

Seusai sahaja membuang undi, Daroyah terus bergerak ke beberapa daerah mengundi yang lain untuk menyantuni pengundi di DUN beliau bersama jentera kempennya.

=EZY=


Pengarang :