SELANGOR

Calon N.46 selesai mengundi, jelajah 14 daerah mengundi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 MEI: Calon N.46 Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri selesai menjalankan tanggungjawab membuang undi di Sekolah Rendah Agama Taman Kem Pelabuhan Klang, di sini, sekitar jam 10 pagi tadi.

Beliau diiringi isteri dan anak-anak serta jentera kempennya mendapat perhatian daripada pengundi yang hadir di daerah mengundi berkenaan.

Azmizam berkata, selepas mengundi beliau akan pergi ke 14 lagi daerah mengundi Parlimen Klang sehingga selesai waktu mengundi.

Pada masa sama, beliau kesal dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana proses pengundian berjalan agak lambat sehingga ada beberapa pengundi meluahkan ketidakpuasan hati kepadanya.

“Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi proses membuang undi akan berakhir, saya harap pihak SPR ambil tindakan dan segera menyelesaikan isu ini supaya tidak ada yang tertunggu-tunggu.

“Saya mendapat tahu proses dalam bilik saluran mengundi berjalan agak perlahan sehingga lapan ke 10 minit setiap seorang, jadi saya khuatir nanti ada yang putus asa dan pulang ke rumah tanpa mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Daerah Mengundi di Sekolah Agama Rakyat Al-Mumtaz, Masjid Telok Gong, di sini, hari ini.

Selain itu, katanya, beliau menyeru supaya setiap pengundi yang hadir di daerah mengundi masing-masing supaya bersabar dengan keadaan cuaca.

“Hanya lima tahun sekali kita mengundi, saya harap pengundi bersabar dan terus menunggu giliran sehingga proses membuang undi selesai,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :