PENDIDIKANSELANGOR

CMC Unisel jejak asnaf serah sumbangan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MEI: Dalam usaha memasyarakatkan kampus Universiti Selangor (UNISEL), Kelab Komunikasi Media (CMC) membuat kunjungan ukhuwah ke beberapa rumah asnaf fakir dan miskin di sini, awal pagi ini.

Program dikenali Seindah Ramadan dan RNR sahur itu disertai kira-kira 20 ahli jawatankuasa CMC yang berjaya menjejaki tiga keluarga asnaf untuk mengedar juadah bersahur serta menyerahkan sumbangan kepada keluarga terbabit.

Pengarah Projek, Dzarith Miersya Mohd Dzulbahar berkata, program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan kelab berkenaan bagi mendekati masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.

Katanya, selain merapatkan silaturahim, ia sekali gus dapat memupuk sifat keihsanan dalam kalangan anggota kelab CMC dan menggalakkan pembentukan jati diri serta mencerminkan sahsiah positif.

“Justeru, selepas tiga tahun CMC bergerak aktif menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial, ini kali pertama program melibatkan keluarga asnaf dijalankan kerana kami mahu memberi perhatian kepada golongan ini.

“Jika sebelumnya kami banyak mengelola program untuk anak yatim, tetapi kali ini kami tampilkan sedikit kelainan supaya dapat melihat sendiri keperluan golongan asnaf.

“Pada masa sama turut berpeluang merasai kesusahan golongan ini yang mungkin tiada juadah untuk bersahur,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sementara itu, Miersya berkata, persiapan dari segi sumbangan diselaraskan menerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan digerakkan kelab terbabit yang giat mengumpul sumbangan daripada organisasi luar.

“LZS banyak membantu kami dalam menjayakan program yang dirancang dengan mengemukakan beberapa senarai keluarga asnaf dan fakir miskin yang berdaftar dengan pihak mereka.

“Selain itu, sedikit sebanyak dana turut dikeluarkan oleh LZS bagi memastikan program berlangsung dengan lancar,” katanya.


Pengarang :