NASIONAL

Corat-coret PRU-14

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOMENTAR: Pejam celik sudah pun masuk hari kelapan kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlangsung.

Ini juga bermakna hanya tinggal tiga hari sahaja lagi tempoh untuk calon meneruskan kempen masing-masing sebelum menjelangnya hari pengundian, pada 9 Mei nanti.

Dalam tempoh lapan hari ini, kita dapat saksikan pelbagai perkembangan menarik dan tidak kurang juga adegan yang tak berapa ingin dilihat.

SelangorKini senaraikan 10 perkara paling menarik perhatian umum sebaik sahaja gelanggang PRU14 dibuka, pada 28 April lalu.

1. Statistik PRU-14

  •  Pada PRU kali ini seramai 14,940,624 pengundi layak mengundi.
  •  PRU14 kali ini juga menyaksikan seramai 2,333 calon kesemuanya bagi merebut 727 kerusi yang dipertandingkan.
  • Daripada jumlah itu, seramai 687 calon bertanding merebut 222 kerusi Parlimen dan 1,646 calon lagi bertanding di 505 kerusi peringkat DUN.
  • Sebanyak 23 buah parti bertanding peringkat Parlimen dan 22 parti bertanding di peringkat DUN.
  • PRU kali ini menyaksikan seramai 78 calon bebas bertanding dengan 24 calon di peringkat Parlimen dan 54 lagi peringkat DUN.

2. Beberapa pencalonan Pakatan Harapan (PAKATAN) dibatalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di hari penamaan calon.

Antaranya melibatkan penyandang kerusi Parlimen Batu, Tian Chua ekoran sabitan satu kes di mahkamah pada 2013 dan G Sivamalar kerana kegagalan mematuhi peraturan alamat tempat tinggal.

Bagaimanapun ‘baton’ perjuangan PAKATAN di kedua-dua kerusi ini diserahkan kepada calon Bebas di Parlimen Batu, P Prabakaran dan calon ‘bidadari terjun’ yang juga daripada KEADILAN, Juwairiya Zulkifli di DUN Bukit Melawati.

3. Antara perkara paling diperkatakan nitizen di media sosial dan sembang-sembang politik di warung kopi adalah penerimaan masyarakat Melayu terhadap calon dan ceramah PAKATAN yang jauh lebih baik berbanding PRU13 lalu.

Sambutan yang diberikan ini dianggap sebagai petanda tercetusnya tsunami rakyat apabila gelombang baru ini bergabung dengan tsunami Cina dan tsunami India sekali gus meleburkan kelebihan Barisan Nasional (BN) gara-gara persempadanan baru SPR pada PRU-14 nanti.

4. Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja memeningkan rakyat, malah turut menyekat perkembangan demokrasi negara.

Perkara ini dapat dilihat apabila pemasangan bendera dan pemidang PRU kali ini kurang berbanding PRU-13 lalu.

SelangorKini difahamkan hal ini berikutan meningkatnya kos membuat bendera-bendera akibat kesan GST.

5. Bagi petugas media khususnya wartawan politik, tempoh 11 hari berkempen merupakan tempoh paling sibuk dan memenatkan dalam jangka masa lima tahun kebelakangan ini.

Selain itu, dalam tempoh 11 hari ini juga keahlian mereka dalam grup-grup whatsapp meningkat dengan mendadak apabila nombor telefon mereka dimasukkan oleh agen calon bertanding atau parti-parti politik pelbagai peringkat.

6. Selepas lapan hari berkempen didapati masih terdapat sesetengah jentera parti berfikiran kebelakang apabila gagal berkempen secara matang dan tidak mempraktikkan politik idea sebagai senjata tetapi sebaliknya melancarkan serangan peribadi yang terdapat unsur fitnah sekali gus tidak membantu pengundi untuk membuat pilihan.

7. Nitizen menganggap tindakan SPR melarang penggunaan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad pada poster kempen PAKATAN sebagai satu lawak pilihan raya.

Mereka juga melihat tindakan itu sebagai tindakan terdesak untuk mempertahankan BN pada PRU kali ini.

8. Perkembangan terkini, tiga lagi tokoh vateran Umno di pecat ekoran memberikan sokongan terbuka kepada PAKATAN. Mereka adalah Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Rais Yatim dan Tan Sri Rafidah Aziz.

9. Pada saat ini, tersebar di grup whatsapp – Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan supaya semua parlimen di seluruh negara mengadakan lintas langsung Amanat Khas Bakal Perdana Menteri Ke-7 di Langkawi.

“Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi PAKATAN Pusat telah mengarahkan semua Parlimen untuk menganjurkan ceramah besar-besaran pada malam 8 Mei 2018 di parlimen masing-masing.

“Tepat jam 10.00 malam semua ceramah perlu dihentikan serta merta untuk memberi laluan kepada siaran langsung AMANAT KHAS BAKAL PM KE 7 dari Langkawi,” menurut pesanan itu.

10. Kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati PAKATAN mampu menang besar di Selangor apabila memperolehi peningkatan sokongan 7 peratus daripada 49 peratus pada survei Januari 2018 kepada 56 peratus pada survei hujung April 2018 selepas penamaan calon.

Berdasarkan survei IDE mendapati, sokongan BN merosot 4 peratus iaitu daripada 34 peratus kepada 30 peratus dan manakala PAS pula didapati kekal 12 peratus sokongan sejak Januari 2018.

Kajian ini melibatkan seramai 52 orang enumerator terlatih secara bersemuka dengan lebih 6,800 responden di 56 DUN Selangor.


Pengarang :