SELANGOR

Daroyah rai 100 wanita sempena hari ibu.

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 8 MEI: Seramai 100 ibu dari Persatuan Penduduk Taman Bukit Kembara 1, Rantau Panjang, di sini dirai dalam Majlis Sambutan Hari Ibu, semalam.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN), Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, inisiatif itu diambil bagi menghargai pengorbanan dan jasa ibu.

“Sambutan ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan seorang ibu yang sudah banyak berkorban dalam melahir serta membesarkan kita.

“Sebenarnya, hari-hari merupakan Hari Ibu tetapi 13 Mei ini merupakan hari istimewa sedikit untuk kita menghargai golongan terbabit,” katanya.

Daroyah yang juga Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga mengakui bahawa ibu merupakan golongan istimewa dalam diri beliau.

“Saya dan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sentiasa berusaha memikirkan cara terbaik menghargai golongan ibu ini.

“Oleh itu, kami sedaya upaya menjadikan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sebagai inisiatif untuk meringankan beban golongan ibu khususnya di negeri ini,” katanya.

Daroyah berkata, jika sebelum ini KISS terhad kepada 30,000 penerima di seluruh Selangor, namun kuota penerima akan bertambah sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya mengambil alih Putrajaya.

“Di Selangor sahaja ramai mahukan KISS, tetapi kita terpaksa tapis mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya sambil menyeru golongan ibu untuk terus menyokong PAKATAN.


Pengarang :