KENYATAAN MEDIANASIONAL

Dato’ Seri Najib Razak mesti bertanggungjawab ke atas skandal korupsi 1MDB

Seperti yang saya nyatakan di dalam siaran media bertarikh 22 Mei 2018,
Kementerian Kewangan (MoF) telah membayar pelbagai tuntutan kewangan yang dikenakan ke atas 1MDB sejak April 2017.

Pembayaran tersebut kini berjumlah RM6.98 bilion. Sebanyak RM954 juta lagi perlu dibayar sebelum akhir tahun ini.

Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak menulis bahawa ia “adalah salah untuk memanggil pembayaran-pembayaran tersebut sebagai satu bailout” pada hari Jumaat lepas dalam laman Facebooknya.

Beliau berkata 1MDB telah memindahkan kesemua aset hartanah termasuk Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia kepada MoF seperti yang disarankan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Maka pembayaran-pembayaran tersebut adalah merupakan pampasan kepada 1MDB.

Anggapan beliau sedemikian adalah salah atas beberapa sebab di bawah:

1. Pemindahan aset 1MDB kepada MoF bukanlah satu transaksi “jual beli.” Pegawai-pegawai kementerian mengesahkan bahawa tiada penjanjian jual beli telah dilangsungkan atau dijalankan. Ini adalah konsisten dengansaranan PAC.

PAC telah mendapati bahawa 1MDB tidak mempunyai keupayaan kewangan, kemampuan untuk membangun atau menjual aset-aset hartanah tersebut.

Oleh sebab itu, PAC telah mengesyorkan supaya MoF mengambilalih aset-aset tersebut untuk menjamin dan meningkatkan kemampanan projek-projek berkaitan.

2. Mantan Perdana Menteri yang merangkap Menteri Kewangan juga tidak patut lupa bahawa tanah-tanah tersebut telah dijual oleh kerajaan persekutuan kepada 1MDB pada harga yang tersangat rendah antara tahun 2010-2012:

a. 70 ekar tanah TRX dijual kepada 1MDB pada harga RM230 juta (sekitar RM74 kaki persegi)

b. 486 ekar tanah Bandar Malaysia dijual kepada 1MDB pada harga RM1.6 bilion (sekitar RM72 kaki persegi)

Mengapa Kementerian Kewangan perlu memberikan pampasan sebanyak berpuluh-puluh bilion kepada 1MDB, walaupun 1MDB telah membeli tanahtanah tersebut dengan harga yang begitu murah, dan gagal menjalankan sebarang pembangunan ke atas projek-projek ini?

3. Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa MoF tidak mengambil alih aset-aset ini secara percuma:

a. Apabila MoF mengambil alih TRX City Sdn Bhd, kementerian terpaksa juga mengambil alih pinjaman syarikat bernilai RM800 juta yang diambil daripada PERKESO. Hutang ini akan matang pada 2020.

b. Apabila MoF mengambil alih Bandar Malaysia Sdn Bhd, kementerian terpaksa bertanggungjawab ke atas pinjaman sukuk yang bernilai RM2.4 bilion.

Laporan Ketua Audit Negara juga telah mengesahkan bahawa pinjaman dan sukuk tersebut tidak digunakan untuk tujuan yang ditetapkan, iaitu untuk membangunkan TRX dan Bandar Malaysia.

Maka, 1MDB tidak layak meminta apa-apa pampasan daripada MoF. Sebaliknya pihak kementerianlah yang sepatutnya membuat tuntutan pampasan daripada 1MDB untuk menanggung bayaran hutang-hutang di atas.

4. Tambahan lagi, MoF telah membuat beberapa bayaran kepada 1MDB, atau bagi pihak 1MDB yang berkaitan dengan projek TRX dan Bandar Malaysia.

a. MoF, melalui anak syarikat milik penuhnya Aroma Teraju Sdn Bhd, telah membeli sebidang 2.3 ekar tanah daripada TRX City Sdn Bhd pada September 2015 pada harga RM250 juta.

b. MoF telah mengembalikan wang deposit RM741 juta untuk pihak 1MDB kepada satu konsortium yang diketuai Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) selepas penjanjian jual beli Bandar Malaysia dibatalkan pada Mei 2017.

Ini adalah kerana 1MDB telah habis menggunakan deposit yang telah dibayar oleh IWH, dan tidak mampu memulangkan deposit tersebut.

c. Selain daripada bayaran-bayaran di atas, 1MDB juga telah menjual dua bidang tanah TRX kepada dua badan berkaitan kerajaan untuk mendapat keuntungan melampau:

i. 1.57 ekar dijual kepada Lembaga Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta (sekitar RM2,750 kaki persegi) pada bulan April 2015

ii. 1.25 ekar dijual kepada Affin Bank, anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) pada harga RM255 juta (sekitar RM4,680 kaki persegi) pada bulan Ogos 2015.

5. Akhir sekali, wang sejumlah RM6.98 bilion yang dibayar MoF bagi pihak 1MDB (seperti yang diterangkan saya pada 22 Mei 2018) langsung tidak bersangkut-paut dengan mana-mana projek hartanah di TRX dan Bandar Malaysia.

Segala pembayaran telah dibuat untuk:

a. Membayar faedah koupon bon 30-tahun bernilai RM5 bilion yang diterbitkan pada tahun 2009. Wang ini telah dilaburkan oleh 1MDB kepada PetroSaudi International Ltd yang akhirnya gagal.

b. Membayar faedah koupon bon-bon 10-tahun sejumlah US$3.5 bilion yang diterbitkan pada bulan Mei dan Oktober 2012, yang bertujuan untuk membiayai pembelian loji-loji penaja kuasa.

Aset-aset ini sudah dijual dan hasil jualan tersebut telah digunakan sepenuhnya. Akan tetapi, bon ini masih lagi terhutang dalam syarikat.

c. Membayar faedah koupon kepada bon 10-tahun US$3 bilion yang diterbitkan pada bulan Mac 201, yang bertujuan untuk membiayai pembangunan TRX. Ketua Audit Negara melaporkan hasil terbitan bon tersebut tidak langsung digunakan untuk pembangunan TRX.

d. Membayar balik sepenuhnya pendahuluan US$1.2 bilion daripada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC). Pendahuluan ini diterima pada bulan April 2015 untuk membayar hutang US$975 juta yang diberikan oleh konsortium
Deutsche Bank.

Maka, mengapa sebarang pulangan daripada projek-projek hartanah – yang asalnya dibeli pada harga yang sangat rendah – patut digunakan untuk menutup dan membayar balik segala pinjaman-pinjaman yang tidak berkaitan di atas.

Oleh sebab itu, label pembayaran RM6.98 billion yang dibuat MoF bagi pihak 1MDB sebagai ‘bailout’ adalah cukup tepat. Malah ia merupakan ‘bailout’ terbesar dalamsejarah Malaysia.

Justeru, tak perlulah kita berbahas sama ada bayaran-bayaran ini merupakan ‘bailout’ atau tidak. Adalah lebih baik Dato’ Seri Najib memberikan penjelaskan tentang perkara-perkara berikut:

(i) Ke mana perginya wang sejumlah US$1.83 billion yang dilaburkan ke dalam satu usaha sama bersama dengan PetroSaudi International Ltd di antara tahun 2009 dan 2011?

(ii) Ke mana perginya wang bon sejumlah $US3.5 bilion yang diterbitkan pada tahun 2012 yang bertujuan asal untuk membeli loji-logi pejana kuasa di Malaysia?

(iii) Ke mana perginya wang bon sejumlah US$3.0 bilion yang diterbitkan pada tahun 2013 untuk pembangunan TRX?

Pihak MoF akan bekerjasama erat dengan Jawatankuasa Khas 1MDB yang ditubuhkan oleh YAB Perdana Menteri untuk (i) mengembalikan sebanyak mungkin dana-dana yang hilang dan dicuri, dan (ii) menghukum semua pihak yang telah terlibat dalam skandal korupsi terbesar di Malaysia

YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya
27 Mei 2018


Pengarang :