Selangorkini
SELANGOR

Datuk Mohamad Nordin Ketua Pengarah JAKIM yang baharu

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 MEI: Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia bersetuju meluluskan pelantikan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim sebagai Ketua Pengarah badan itu berkuat kuasa 17 Mei ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Dato’ Othman Mustapha yang memaklumkan tempoh kontrak perkhidmatannya tamat, pada 16 Mei.

Katanya, majlis Penyampaian Surat Perlantikan Datuk Mohamad Nordin sebagai Ketua Pengarah diadakan di Jabatan Perdana Menteri, pada 7 Mei lalu.

“Beliau mendapat pendidikan awal dari Kolej Islam Klang, Selangor seterusnya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (B.A) Usuluddin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 1982 dan Sarjana Pengajian Islam (M.A) Tamadun Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2000.

“Beliau juga pernah mengikuti Leadership Programme di University Oxford, United Kingdom pada tahun 2013,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan Mohamad Nordin, 58, berkhidmat dalam kerajaan selama lebih 34 tahun apabila mula dilantik sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam, pada 31 Januari 1984.

Beliau berpengalaman luas dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam melalui kariernya di pelbagai tempat dan bahagian sepanjang tempoh perkhidmatan. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM.

“Dengan kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.

“Ditambah dengan integriti tinggi yang dimiliki, saya yakin beliau mampu meneruskan visi dan misi JAKIM untuk memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada rakyat di negara ini. Syabas dan tahniah saya ucapakan,” katanya.

Pada masa sama, Othman turut merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia yang memberi kepercayaan kepadanya sebagai Ketua Pengarah JAKIM selama lebih tujuh tahun.

“Saya berdoa Kerajaan Malaysia khususnya perkhidmatan awam terus cemerlang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.


Pengarang :