SELANGOR

Dr Daroyah anak jati Bukit Kapar ikrar pertahan tanah kelahiran

OLEH NADIAH ZAMLUS

KAPAR, 2 MEI: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berikrar mempertahankan Bukit Kapar yang juga tempat kelahirannya.

Dr Daroyah berkata, beliau berbangga apabila Bukit Kapar yang berada di DUN Meru telahpun termasuk dalam DUN Sementa selepas proses persempadanan semula.

“Dahulu lokasi kampung ini bersebelahan DUN Sementa, walaupun ia kampung halaman sendiri tapi saya tidak boleh masuk campur kerana ia tanggungjawab orang lain.

“Tetapi sekarang saya cukup gembira apabila Kampung Bukit Kapar, tempat saya membesar makin berada dalam genggaman, saya amat gembira untuk berbakti kepada masyarakat yang juga keluarga saya,” katanya ketika Ceramah Jelajah Harapan DUN Sementa.

Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu menyaksikan Dr Daroyah menang dengan majoriti undi sebanyak 7,846 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan juga bebas.

Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga itu sekali lagi diberi mandat oleh Pakatan Harapan (PAKATAN) sekaligus tampil sebagai calon DUN Sementa.

Dr Daroyah berkata, taktik persempadanan semula itu adalah bagi mengalih majoriti undi yang pernah diraihnya termasuk 76 peratus undi orang Melayu.

“Umno dan BN fikir orang Bukit Kapar hendak pangkah mereka, adakah penduduk di sini mahu BN mentadbir mereka?.

“Saya tidak akan benarkan, dahulu memang tidak dinafikan saya dibesarkan dengan bantuan Umno, termasuk menerima pendidikan percuma. Tetapi itu Umno dengan barisan kepimpinan yang lama, mempunyai jiwa rakyat.

“Tetapi pemimpin Umno sekarang sudah tidak sayangkan rakyat, pendidikan percuma susah hendak kita dapat, adakah itu yang penduduk Bukit Kapar mahukan?,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :