NASIONAL

Dr Maszlee tekad perbaiki sistem pendidikan, ringan beban guru

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MEI: Dulu pensyarah, kini Dr Maszlee Malik, Ahli Parlimen Simpang Renggam sudahpun bergelar Menteri Pendidikan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Dr Maszlee yang juga Pensyarah kanan Jabatan Fiqh dan Usul al-Fiqh Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), meluahkan keazamannya untuk memperbaiki sistem pendidikan sekaligus meringankan beban guru di negara ini.

Katanya, sistem pendidikan negara pada masa ini perlu disuntik kaedah baharu selain tidak tertumpu kepada kedudukan dan peperiksaan semata-mata.

“Yang perlu diubah antaranya ialah bebanan guru yang perlu melakukan kerja perkeranian sehingga tidak menumpukan perhatian utama iaitu mengajar, manakala pelajar pula dibebani dengan beg berat kerana perlu membawa buku yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program temubual Astro Awani malam tadi.

Dr Maszlee, 44, mengakui tidak menjangka diberi portfolio pendidikan yang menurut beliau lazimnya diterajui mereka yang lebih senior dan berpengalaman.

Pemikir dan penganalisis politik Islam kontemporari ini juga telah menghasilkan lebih 60 buku bagi luar dan dalam negara.

Pada tahun 1989, beliau telah menyertai Madrasah Al-Quran Waddin dan kemudiannya ke Maahad Johor sehingga kemudiannya melanjutkan pelajaran di Jordan dalam bidang Fiqh dan Usul al-Fiqh.

Di media pula, Dr Maszlee lebih dikenali sebagai moderator debat dan wacana politik serta penganalisis politik Timur Tengah, pemikiran politik Islam dan juga gerakan Islam kontemporari.

Nama beliau tersenarai dalam barisan 14 anggota kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semalam.

Perlantikan Dr Maszlee itu ‘mengantikan’ Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini diumumkan akan memegang portfolio berkenaan.

Namun Mahathir menegaskan beliau tidak akan melanggar Manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) yang menetapkan bahawa perdana menteri tidak boleh memegang dua portfolio di dalam Kabinet.

“Saya tidak boleh melanggarnya. Memang ada permintaan untuk saya menjadi Menteri Pendidikan,” katanya dalam video yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

=EZY=


Pengarang :