BERITA UTAMASELANGOR

Dr Shaharuddin tolak spekulasi ganti Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MEI: Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, pengganti Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, adalah calon daripada KEADILAN.

Bagaimanapun, beliau menolak spekulasi bahawa dirinya pengganti Mohamed Azmin.

“Desas desus boleh mengatakan siapa sahaja, jadi kita tidak boleh percaya. Yang pastinya, parti yang paling banyak memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah KEADILAN.

“Maka, calon yang layak itu adalah daripada KEADILAN. Calon itu boleh datang daripada Exco atau Ahli Dewan Negeri (ADN) lain,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Shaharuddin berkata, KEADILAN sudah mempunyai senarai calon yang layak untuk menyambung kesinambungan jawatan nombor satu, di Selangor itu.

Katanya, perbincangan sudah dijalankan, namun dirinya tidak terbabit dalam mesyuarat itu.

“Sudah tentu perbincangan sudah dijalankan kerana ia membabitkan jawatan yang sangat besar. Saya percaya KEADILAN sudah menyenaraikan nama calon dan terpulang kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang akan putuskan.

“Saya tidak ada dalam perbincangan itu, jadi tidak boleh nyatakan siapakah orangnya,” katanya.

Bagaimanapun, ketika ditanya adakah dirinya, beliau tidak mahu mengulas lanjut.

“Itu saya tidak mahu komen. Jika orang lain juga, saya tidak boleh komen. Kita tunggu kenyataan siapakah calon itu nanti,” katanya.

Dr Shaharuddin adalah ADN Seri Setia dan mempunyai pengalaman lebih 33 tahun dalam bidang pendidikan serta badan bukan kerajaan.

Beliau juga mantan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan selain Naib Presiden KEADILAN.

Selain Dr Shaharuddin, dua lagi nama yang disebut bakal memegang jawatan Dato’ Menteri Besar adalah ADN Sungai Tua, Amirudin Shari dan ADN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei.

Terdahulu, Mohamed Azmin dijangka melepaskan jawatan berkenaan selepas diumumkan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Persekutuan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad , pada 18 Mei lalu


Pengarang :